Thursday 31 May 2012

Jangan Bersandar Kepada Amal Taat

Sudut renungan kali ini diambil daripada status-status facebook pakcik saya, Ustaz Abdul Karim bin Sidek. Amat rugi sekiranya saya tidak berkongsi status-statusnya yang sangat berguna ini kepada anda semua.

"Antara tanda bersandar kepada amal taat ialah berkurangnya pengharapan terhadap ALLAH apabila terjerumus dalam kesalahan dan dosa."
Ibn Atho'illah As-Sakandary

Maksud bersandar kepada Amal ialah:
Seorang yang beramal dengan sangkaan bahawa amal taat yang dikerjakan itulah yang akan melayakkannya memasuki syurga ALLAH S.W.T..
Beramal, tetapi kerana mengharapkan ganjaran pahala semata-mata, tidak menjadikan keredhaan dan keampunan ALLAH swt sebagai tujuan utama.

Sebagai contoh, dengarkan kata-kata ini:
"Bukankah aku dah solat, dah puasa, haji dan macam-macam perintah ALLAH aku kerjakan, takkan aku tak Islam lagi?, takkan tak layak lagi ke syurga!"


Perhatikan betapa ramai orang yang giat beramal hanya dibulan Ramadhan. Apabila berakhir Ramadhan, berakhir jugalah ibadah mereka. Ini bererti mereka hanya terpikat dengan pahala dan ganjaran yang dijanjikan ALLAH dalam bulan ramadhan, bukan kepada ALLAH; Tuhan yang memberi ganjaran. Andai mereka mencari redha ALLAH, sudah pasti mereka akan beramal pada mana-mana bulan, tanpa kecuali, kerana ALLAH adalah Tuhan kesemua 12 bulan dalam setahun! Bukan memilih-milih masa dan tempat tertentu.

Sesungguhnya bersandar kepada amal dengan sangkaan bahawa ianya menjadi tiket ke syurga, itu adalah TERCELA dalam pandangan Syara'. MENGAPA?

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Selama-lamanya, tiada seorangpun yang dapat memasuki syurga dengan sebab amalannya".
Para Sahabat bertanya:
"Engkau juga, Ya Rasulullah?",
Baginda menjawab:
"Ya, Saya juga... Kecuali dengan Rahmat - belas kasihan ALLAH semata-mata".

Kalau Rasulullah S.A.W. yang bengkak bengkil kaki kerana lamanya berdiri dalam solat tidak masuk syurga kerana amal taat kepada-Nya, maka betapakah kita yang sedikit amal taatnya berangan-angan dengan apa yang tidak dimiliki oleh Baginda S.A.W. sendiri?

MENGAPA TIDAK BOLEH BERSANDAR KEPADA AMAL?

1) TIDAK BERNILAI

Kerana amal taat yang kita lakukan itu sedikitpun tidak berharga untuk ditukarkan dengan apapun juga. Kepada sesama manusia pun tidak berharga, apatah lagi di sisi ALLAH.

Siapa yang mahu membeli solat, puasa atau haji kita? Malah seluruh ibadat yang kita kerjakan tidak dapat ditukarkan walau hanya untuk sepinggan nasi. Apatah lagi di sisi ALLAH, bukankah Dia telah berfirman dalam Hadith Qudsi:
يا عبادي ! لو أن أولكم وآخركم وإنسكم وجنكم . كانوا على أتقى قلب رجل واحد منكم . ما زاد ذلك في ملكي شيئا . يا عبادي ! لو أن أولكم وآخركم . وإنسكم وجنكم . كانوا على أفجر قلب رجل واحد . ما نقص ذلك من ملكي شيئا
“Wahai hamba-Ku, andai seluruh manusia dan jin dari yang paling awal sampai yang paling akhir, seluruhnya menjadi orang yang paling bertaqwa, hal itu sedikitpun tidak menambah kekuasaan-Ku. Wahai hamba-Ku, andai seluruh manusia dan jin dari yang paling awal sampai yang paling akhir, seluruhnya menjadi orang yang paling bermaksiat, hal itu sedikitpun tidak mengurangi kekuasaan-Ku”
(HR. Muslim, no.2577)

Bodohlah kalau ada orang yang rela menukarkan barang berharga miliknya dengan milik kita yang tidak bernilai. Kalau itu tidak berlaku kepada sesama manusia, sementelah pula kepada ALLAH!

Jadi, orang-orang yang menyangka amal taatnya hebat hingga layak ditukar dengan syurga adalah orang yang jelas tertipu. Samalah keadaannya dengan orang yang terpedaya dengan nilai angka yang tertulis di atas wang kertas sedangkan wangnya adalah wang palsu.

2) TERLALU BANYAK CACAT CELANYA

Bagaimana akan bersandar kepada amal, sedang amal yang kita kerjakan terlalu banyak kekurangannya, baik dari segi kuantiti apa lagi kualiti.

Amal-amal taat yang dihakis oleh riak, dikikis oleh ujub dan sum'ah, direputkan oleh perbuatan mengungkit-ungkit atau dileburkan oleh sifat angkuh dan takabbur, itukah amal yang layak dipersembahkan kepada ALLAH?

Amal-amal yang dikerjakan di hujung-hujung waktu, dibaki-baki usia yang tersisa, dari lebihan yang tidak lagi dipandang walau sebelah mata, itukah amal yang layak untuk ALLAH yang tidak berurusan melainkan dengan yang terbaik?. [La Yaqbaul Illa Toyyiba]

Dapatkah dijadikan sandaran ganjaran atau anugerah kalau sang Maharaja dihadiahkan dengan seorang khadam yang buta, tuli, bisu, kudung kaki dan tangannya? Begitulah ibarat yang dilontarkan oleh Al-Imam Al-Ghazali supaya kita mencermin diri, merenung dalam-dalam akan hakikat kualiti amal yang kita kerjakan.

Andai ALLAH menilik dengan sifat ADIL-Nya, nescaya tiada satu amal yang selamat dari sebarang cacat dan cedera. Oleh itu jalan yang paling selamat bagi amal adalah bertujuan mencari KEAMPUNAN dan KEREDHAANNYA, bukan kerana PAHALA atau GANJARANNYA.

3) SELALU TERBIAS DARI ALLAH

Maksudnya amal-amal taat kita selalu saja ada tujuan dan kerana yang selain dari ALLAH. Zahir menyebut ALLAH, namun batin menyimpan maksud tersirat. Lahir, menyebut cinta sedang batin mengingati habuan dan ganjaran. Luaran menyatakan taqwa, manakala hakikatnya, makhluk lebih digeruni.

Hanya ALLAH yang tahu berapa banyak amalan yang dikerjakan hanya kerana ianya WAJIB, ditinggalkan kerana ianya HARAM, ditunaikan kerana PAHALA dan SYURGA, dijauhi hanya kerana takutkan NERAKA dan SEKSA. Andai tanpa itu semua, berapa keratkah yang masih setia dengan ALLAH?

Sumber: Facebook Abdul Karim

0 komen:

Post a Comment

 
;