Tuesday 22 May 2012

Teguran Rasulullah S.A.W. Kepada Sahabat Yang Ketawa

Suatu ketika Rasulullah S.A.W. dalam perjalanan untuk menunaikan solat, lalu baginda S.A.W. ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah sehingga menampakkan gigi.

"Sekiranya kamu banyak mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini. Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlalu tanpa kubur berkata, "Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat"

Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata:

"Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Dalam kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku"

Selepas itu kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara berterusan.


Apabila orang yang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata:

"Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Dalam kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi, engkaulah yang paling aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layanan daripadaku"

Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian 70 ekor ular akan dilepaskan ke atasnya. Sekiranya seekor sahaja daripada ular itu menghemburkan bisa keatas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga kehari khiamat. Selepas itu Rasulullah S.A.W bersabda:

"Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga ataupun satu lembah daripada lembah-lembah neraka"

(Misykat)

Keterangan

Takutkan Allah sentiasa ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W. sering merenung. Mengingati maut akan menamakan sifat takut kepada Allah. Oleh itu, Rasulullah S.A.W. menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting lagi pula memberi manfaat.

 
;